Friday, July 29, 2011

RENUNG PERANAN PEMBANTU MAKMAL GRED C17

Utusan Malaysia
4/1/2011




Saudara pengarang,
SAYA mewakili Pembantu Makmal Gred C17 yang bertugas di sekolah menengah ingin meluahkan rasa tidak puas hati mengenai beberapa perkara.
Kami menyahut seruan Perdana Menteri untuk tampil ke hadapan menyuarakan rasa dan memberikan pendapat supaya dapat memantap serta memperkasakan pendidikan terutamanya Sains di kalangan pelajar.
Pertama - mengenai masa bertugas. Pada waktu persekolahan kami bermula dari pukul 7 pagi sehingga 4 petang bagi satu sesi.
Setelah selesai pelajar dan guru menggunakan makmal, kami terpaksa pula membersihkan makmal dan selepas itu baru kami boleh rehat sejam untuk makan.
Cadangan - mengapa kami tidak boleh seperti jururawat yang boleh rehat waktu makan dan terus pulang ke rumah? Oleh itu, biarlah kami bertugas dari pukul 7 pagi hingga 3 petang selama lapan jam bertugas dan waktu makan selama sejam iaitu dari pukul 3 petang hingga 4 petang bagi sekolah satu sesi persekolahan.
Kedua - kami bertugas di makmal yang pada kebiasaannya terletak di belakang blok sekolah, jauh dari pejabat sekolah. Kami mendapat arahan daripada guru yang mengajar mata pelajaran Sains Teras dan Elektif.
Selain itu, kami juga menerima arahan Ketua Bidang Sains. Adalah janggal dan tidak adil prestasi kami dinilai oleh Ketua Pembantu Tadbir Gred N22 atau penolong-penolong kanan yang tidak pernah menjenguk kami bekerja dalam serba kekurangan dan persekitaran yang tidak kondusif, bahaya dengan bahan kimia dan peralatan yang boleh memudaratkan kesihatan.
Markah prestasi kami sering rendah berbanding pembantu tadbir yang bertugas dalam keadaan selesa, kondusif, ada pendingin hawa dan serba lengkap.
Cadangan - mengapa kami tidak dinilai oleh Ketua Panitia atau Ketua Bidang Sains yang lebih memahami bidang tugas kami? Selain itu, pembantu pengurusan murid boleh menyuarakan masalah mereka kepada Penolong Kanan Pendidikan Khas sedangkan masalah kami tiada siapa yang mahu mendengarnya.
Ketiga - bidang tugas yang berlainan memerlukan persefahaman semua pihak. Pada waktu cuti sekolah, kami dibebani dengan tugas perkeranian.
Pembantu tadbir kadang-kadang sengaja tidak membuat kerja mereka kerana tahu kerja tersebut akan dibuat oleh guru sandaran, guru baru, pembantu makmal dan pembantu pengurusan murid. Kerja hakiki kami sering terabai dan kerap ditegur oleh Ketua Bidang Sains apabila tugasan tidak siap.
Cadangan - kami perlu menghabiskan kerja hakiki dan tugasan di pejabat yang dilakukan oleh mereka yang dilantik menjalankan tugas di pejabat seperti ketua pembantu tadbir, pembantu tadbir dan pembantu am pejabat.
Keempat - bidang tugas kami berdepan risiko. Kami terpaksa mengurus selia perkakasan yang merbahaya dan bahan kimia yang boleh memudaratkan kesihatan. Malah, kami terpaksa membayar lebih untuk membeli premium insurans kerana dalam Kumpulan Sokongan 2. Risiko kami lebih tinggi daripada guru dan pembantu tadbir.
Cadangan - Mengapa kami tidak dibayar elaun seperti pembantu tadbir kewangan, pembantu pengurusan murid, warden asrama dan juruteknik komputer. Oleh itu, perlu difikirkan untuk elaun risiko atau elaun kritikal.
Kelima - Pada masa ini kenaikan pangkat C17 ke C22 hanya diberikan kepada sekolah yang ada tingkatan enam aliran sains sahaja. Oleh itu, kami yang bertungkus-lumus menyiapkan bahan untuk memperkasakan pendidikan tidak mendapat habuan yang sewajarnya.
Jika prestasi pekerja Gred C17 boleh dinilai oleh ketua pembantu tadbir N22, mengapa jawatan pembantu makmal kanan C22 tidak boleh menilai N17? Mengapa kami C17 tidak boleh dinaikkan pangkat dan bertugas di pejabat sekolah dan mengarahkan pembantu tadbir membuat tugasan lain?
Cadangan - Bukalah peluang kenaikan pangkat seluas-luasnya kepada semua pembantu makmal Gred C17 di sekolah yang ada makmal sains supaya kami boleh naik pangkat sama seperti yang dinikmati oleh pembantu tadbir hingga ke N27.
Saya berharap luahan rasa ini mendapat perhatian semua pihak terutama Menteri Pelajaran, Ketua Pengarah Pelajaran, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam, Jabatan Pelajaran dan Pejabat Pelajaran Daerah.
Walaupun kami tidak mengajar, namun tanpa kami yang menyiapkan bahan, amali sains tidak dapat dijalankan dan akhirnya matlamat untuk mencapai status negara maju akan terhalang.
Terima kasih
PEMBANTU MAKMAL JOHOR TERSEPIT