Wednesday, August 15, 2012

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA 1433 - DARI PENGERUSI KSKM NEGERI PAHANG


Assalamualaikum wbt dan Salam Kesatuan kepada seluruh wargakerja Pembantu Makmal di Negeri Pahang dan khususnya kepada semua AHLI-AHLI KSKM Negeri Pahang sekelian dari saya Khairul A'zli Hj Ahmad(Pengerusi KSKM Negeri Pahang).
Marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Illahi kerana dengan keizinan dan perkenanNya maka kita masih diberikan kesempatan untuk bersama-sama menjalani ibadah puasa sepanjang Bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan.Semoga segala amal ibadah yang kita telah kerjakan sepanjang satu bulan ini akan diterima oleh Allah SWT.
"Allahuakbar,Allahuakbar,Allahuakbar" takbir dan tahmid bergema di seluruh pelusuk dunia menandakan berakhirnya bulan keberkatan Ramadhan Al-Mubaraq dan kini 1 Syawal muncul kembali di hadapan kita.Kemunculan Syawal pada tahun ini mudah-mudahan akan membawa seribu perubahan di dalam kehidupan kita setelah selama sebulan kita ditarbiahkan dengan amalan ibadah yang baik di bulan Ramadhan.
Ramadhan mengajar kita erti kesabaran dan pengorbanan.Dalam kita menentukan hala tuju sesebuah organisasi seperti KESATUAN SEKERJA KAKITANGAN MAKMAL(KSKM) NEGERI PAHANG yang mana konsep perjuangan yang memerlukan kesabaran dan pengorbanan seharusnya diaplikasikan di dalam diri kita apabila kita berada di dalam kesatuan.Alhamdulillah,saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua AHLI-AHLI KSKM Negeri Pahang yang telah berjaya dalam menempuh segala halangan dan rintangan sepanjang mendaftar sebagai ahli KSKM.Jasa dan sumbangan AHLI-AHLI KSKM tersebut tidak dapat dibalas dengan bayaran wang ringgit namun marilah kita bersama-sama berdoa agar segala pengorbanan tersebut mendapat keredhaan dari Allah SWT.
KSKM merupakan kesatuan yang membela nasib seluruh penjawat awam yang bergelar Pembantu Makmal. Perjuangan KSKM diperkuatkan lagi dengan gabungan kesatuan-kesatuan lain di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam dengan membentuk Kongres Kesatuan Sekerja Perkhidmatan Awam atau CUEPACS.Melalui CUEPACS,segala permasalahan yang dihadapi oleh penjawat awam termasuklah PEMBANTU MAKMAL akan di bela.KSKM turut menyumbangkan dana kepada CUEPACS untuk tujuan memperjuangkan nasib kita bersama.Disamping itu juga,ramai Ahli Jawatankuasa Cuepacs samada diperingkat pusat mahupun diperingkat negeri merupakan ahli-ahli KSKM.Ini merupakan pengiktirafan Kongres kepada KSKM unutk bersama-sama berkongsi pandangan,buah fikiran dan idea untuk kepentingan seluruh ahli.
Bersempena dengan 1 Syawal ini,saya selaku Pengerusi KSKM Negeri Pahang menyeru kepada semua Pembantu Makmal di Negeri ini agar bersama berkorban tenaga,masa,wang ringgit dan sebagainya untuk menggerakkan KSKM di peringkat daerah masing-masing.Marilah kita bersama berjuang untuk diri kita dan sahabat-sahabat kita rakan Pembantu Makmal yang lain dengan bersama-sama menjadi ahli KSKM.Ini merupakan platform untuk kita memperjuangkan nasib seluruh Pembantu Makmal di Negeri Pahang khususnya dan di Malaysia amnya.Suara KSKM didengar di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri Pahang.Saya selaku Pengerusi KSKM Negeri Pahang diberikan ruang dan peluang untuk menimbulkan segala permasalahan yang dihadapi oleh Pembantu Makmal di Negeri ini melalui Mesyuarat'Majlis Bersama Jabatan' yang dipengerusikan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Pahang.Setiap masalah yang dibangkitkan di dalam mesyuarat tersebut akan diminitkan dan tindakan akan diambil.Sehubungan dengan itu,sekali lagi saya menyeru kepada seluruh Pembantu Makmal yang masih lagi belum berkesempatan menjadi ahli KSKM,ayuh!Inilah masanya untuk anda bertindak kerana sokongan anda sebagai ahli KSKM merupakan  suara yang dapat mengubah nasib kita sebagai Pembantu Makmal.Siapa yang dapat mengubah nasib kita jika bukan kita yang berusaha untuk mengubahnya.
Madrasah tarbiah Ramadhan telah kita tinggalkan dengan mauduk yang baik untuk diri kita dan sesama manusia.Saya menyeru kepada seluruh Pembantu Makmal di Negeri Pahang ini agar dapat merapatkan kembali jalinan ukhwah dan silatulrahim sesama Pembantu Makmal terutama yang berkhidmat di sekolah yang sama.Lupakan segala sengketa dan ketidakpuasan hati sesama kita.Marilah saling maaf memaafi semoga kekukuhan ikatan persaudaraan bermula di sekolah,daerah,negeri dan seterusnya di peringkat negara dapat direalisasikan demi pengukuhan semangat kita di dalam KSKM Negeri Pahang.
Dikesempatan 1 Syawal ini,saya selaku pengerusi KSKM Negeri Pahang bersama-sama barisan Ahli Jawatankuasa KSKM Negeri Pahang serta dibantu oleh Wakil KSKM Daerah dan barisan Ahli Jawatankuasa Pelaksana Peringkat Daerah di Negeri Pahang ingin mengambil kesempatan memohon keampunan dan kemaafan kepada seluruh AHLI-AHLI KSKM Negeri Pahang sekiranya selama ini berlaku kekurangan dan kelemahan dalam pentadbiran KSKM Negeri,urusetia kesatuan,penjagaan kebajikan ahli,ketidakpuasan sesetengah pihak dalam menentukan keputusan dan pelbagai lagi kelemahan dan kekurangan barisan AJK KSKM Negeri Pahang.Sebagai sebuah organisasi yang besar dan ramai ahli di dalamnya,pihak kami sedaya upaya cuba memuaskan hati semua ahli.Namun jika terdapat mana-mana pihak yang merasakan ketidaksempurnaaan kepada barisan AJK KSKM Negeri,pihak kami menghulurkan sepuluh jari memohon keampunan dan kemaafan zahir dan batin.
"SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI - MAAF ZAHIR DAN BATIN"

Ikhlas dari :
Khairul A'zli bin Hj Ahmad
Pengerusi,
Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal Negeri Pahang.

No comments:

Post a Comment