Thursday, August 1, 2013

TEKS UCAPAN PENGERUSI KSKM NEGERI PAHANG DI "KONVENSYEN PROFESIONALISME KAKITANGAN MAKMAL NEGERI PAHANG 2013"

KSKM NEGERI PAHANG
Assalamualaikum wbt...
Berikut,~ADMIN~ memuat-naikkan teks ucapan Pengerusi KSKM Negeri Pahang: En.Khairul A'zli Hj Ahmad sempena "Konvensyen Profesionalisme Kakitangan Makmal Negeri Pahang 2013" di Dewan SMK Sri Tualang,Temerloh.

Bismillahirrahmaanirrahim...
Assalamualaikum wbt...
Terima kasih pengantara majlis,
Yang Berbahagi; Tuan Haji Karim bin Man - Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.
Yang dihormati dan dikasihi; Presiden Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal(KSKM) Pusat - En.Hamran bin Ahmad.
Yang dihormati wakil Pengetua SMK Sri Tualang; Al-Fadhil Ustaz Ridzuan bin Mokhti
Setiausaha Agung KSKM Pusat - En.Ashaari bin Maarof PPW.
Ahli Jawatankuasa KSKM Cawangan Pahang.
Wakil-wakil KSKM Daerah dan barisan Ahli Jawatankuasa Pelaksana KSKM Daerah.
Ahli Jawatankuasa Kerja Konvensyen.
Pembantu Makmal Kanan C26 dan C22.
Rakan-rakan Pembantu Makmal C17.
Pembantu Am Pejabat dan seterusnya sidang hadirin yang dihormati sekelian.

Ucapan oleh En.Khairul A'zli Hj Ahmad
Marilah kita memanjatkan kesyukuran kehadrat Illahi kerana dengan limpah kurnianya maka kita dapat berhimpun di dalam Konvensyen Profesionalisme Kakitangan Makmal Negeri Pahang di Dewan SMK Sri Tualang pada pagi ini.


Terima kasih yang tidak terhingga kepada Ketua Sektor Jaminan Kualiti Jabatan Pendidikan Pahang kerana kesudian beliau hadir ke majlis konvensyen pada pagi ini.



Ucapan terima kasih juga ingin disampaikan kepada Presiden dan Setiausaha Agung KSKM Pusat kerana sudi hadir di dalam majlis ini.



Hadirin dan Hadirat yang dikasihi Allah sekelian...

Pada hari ini,KSKM Cawangan Pahang telah melakar sejarah apabila barisan Ahli Jawatan Kuasa KSKM Negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang telah berjaya menganjurkan satu Konvensyen Profesionalisme kepada semua wargakerja makmal negeri Pahang. Ini merupakan program kemuncak KSKM Negeri Pahang selepas beberapa kursus yang telah berjaya dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah. Kami barisan AJK Negeri berharap agar pada hari ini, kita semua akan berjaya mencapai matlamat penganjuran konvensyen di mana apa juga keputusan hasil dari permuafakatan antara kita akan dapat memperkasakan lagi profesion kita sebagai wargakerja makmal.
Alhamdulillah, kejayaan yang dicatatkan ini merupakan hasil sokongan dan dokongan dari semua ahli KSKM Negeri Pahang.



Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekelian...

Sepanjang sesi 2011-2013 yang lalu, KSKM Negeri Pahang telah menjadi antara KSKM negeri-negeri yang aktif dalam menjalankan aktiviti terutama memenuhi aspirasi setiap ahli. Ahli Jawatan kuasa yang dilantik merupakan pemegang amanah yang disandarkan oleh setiap ahli. AJK sentiasa memikirkan apakah kehendak dan kemahuan yang diingini diperingkat akar umbi. Respon dari setiap ahli sangat-sangat dihargai dan wajib ditanggani, maka permasalahan yang membelenggu kebanyakkan ahli adalah kurangnya bagi setiap wargakerja makmal untuk mengikuti kursus bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran di dalam sesuatu bidang. Justeru itu, AJK KSKM Negeri Pahang telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan kunjungan mesra ke Jabatan Pendidikan Negeri Pahang. Natijah dari kunjungan tersebut maka terlaksanalah beberapa kursus yang dianjurkan KSKM Negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang. Kursus secara usahasama juga telah dijalankan dimana KSKM Negeri telah bekerjasama dengan Giat Mara Malaysia.

KSKM Negeri turut berbangga dan berterima kasih kepada Wakil-Wakil KSKM Daerah dan AJK Pelaksana KSKM daerah kerana telah berkolaborasi dan bersolidariti bersama KSKM Negeri dalam merealisasikan kursus kepada setiap ahli. AJK Pelaksana KSKM daerah telah menganjurkan kursus dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing dan terdapat juga kursus yang dianjurkan dengan usahasama Kolej komuniti, Institut Pendidikan Guru Jabatan-Jabatan Kerajaan selain jabatan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Melalui konvensyen yang diadakan ini, KSKM memohon jasa baik dari Tuan Haji Karim agar pihak JPN dan PPD dapat menyediakan tuntutan perjalanan bagi setiap program yang dianjurkan oleh KSKM.
Insyallah,kami di pihak KSKM akan terus menganjur dan menyediakan pelbagai program untuk semua ahli.


Hadirin dan Hadirat yang dihormati sekelian...


KSKM merupakan kesatuan yang diiktiraf dan berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEIKS). Oleh yang demikian,suara kita diiktiraf di peringkat Kementerian dan Jabatan Pendidikandi negeri-negeri. Suara kita boleh dibawa ketika Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan yang dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Pahang. Antara kejayaan yang dicapai melalui suara KSKM diperingkat negeri adalah 'Pelupusan Bahan Kimia secara Berkelompok Mengikut Daerah' yang telah dan sedang dijalankan. Begitu juga tuntutan KSKM kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk membekalakan pakaian keselamatan 'Labcoat' juga telah mendapat kelulusan dan InsyallahTuan2 dan Puan2 akan dibekalkan dengan perkara tersebut dalam jangka masa yang tidak berapa lama lagi. Tuntutan yang baru diangkat ketika mesyuarat 'MBJ' pada 13 Mei 2013 yang lalu adalah seperti berikut:
1. Pembersihan dimakmal dilakukan oleh kontraktor pembersihan kecuali bahan dan radas sepertimana termaktub di dalam buku'Penghuraian Tugas Pembantu Makmal' yang berkuatkuasa pada 2 Mei 2013.

2. Bagi penilaian SKT setiap wargakerja makmal, KSKM memohon agar Pegawai Penilai Pertama disediakan oleh GPK Pentadbiran/GPK HEM/Ketua Bidang dan bukannya oleh Pembantu Tadbir Kanan sebagaimana terdapat laporan dari ahli.
3. KSKM memohon agar Jabatan Pendidikan Negeri dapat menanggani keadaan Pembantu Makmal di SMK Chung Hwa, Kuala Lipis yang tidak mempunyai stor bahan kimia dimana pembantu makmal disekolah tersebut berada bersama-sama bahan kimia di bilik persediaan.
Inilah antara perjuangan dan suara yang kita boleh kongsikan bersama pihak JPN dan kita bersama-sama berdoa agar permasalahan yang dibawa ini akan dapat diselesaikan dengan kadar segera.


Sidang hadirin yang dihormati sekelian...

Dalam kita berkesatuan, suara yang ingin disampaikan haruslah ampoh dan padu dengan penyertaan dari setiap wargakerja makmal. "KEKUATAN KITA ADALAH SUARA". Kekuatan suara KSKM bersandarkan kepada penyertaan dan sokongan dari semua wargakerja makmal. KSKM Negeri Pahang sangat-sangat sedar akan hakikat ini. Bagi menanggani permasalahan kekurangan penyertaan sebagai ahli maka KSKM Negeri telah merancang program=program khusus bagi meningkatkan penyertaan wargakerja makmal di dalam kesatuan. Antara program tersebut adalah seperti menghadkan hanya ahli KSKM sahaja yang diberikan peluang untuk menghadiri kursus anjuran KSKM, 'Program Turun Padang' ke setiap daerah-daerah di negeri Pahang bagi menyampaikan maklumat kepada wargakerja makmal. Program turun padang ke sekolah-sekolah juga turut dijalankan malah satu bentuk inisiatif telah ditawarkan bagi daerah yang mempunyai keahlian baru teramai antara 2011-2013.
Alhamdulillah, dengan keizinan Allah maka negeri Pahang telah mencactatkan sehingga Mac 2013 yang lalu seramai 373 ahli berbanding 268 ahli pada tahun 2011 iaitu peningkatan seramai 105 ahli baru. Ini merupakan kejayaan kita bersama. Terima kasih kepada Tuan2 dan Puan2 sekelian.


Hadirin dan rakan wargakerja makmal yang dihormati sekelian...

Dalam kita melayari bahtera perjuangan bersama KSKM, kewangan yang kukuh merupakan satu elemen yang sangat penting untuk terus menggerakkan sesuatu kesatuan. KSKM Negeri sangat sedar akan hakikat tersebut justeru kami selaku pemegang amanah telah melancarkan kempen 'Belanja Berhemah'. Antara perkara yang ditekankan dalam merealisasikan apa yang telah disepakati adalah mengurangkan perbelanjaan yang dianggap sebagai kehendak dan mengutamakan hanya kepada keperluan sahaja. Untuk makluman Tuan2 dan Puan2 sekelian, kebanyakkan pergerakkan AJK Negeri ke daerah-daerah yang menganjurkan kursus yang perlu dihadiri adalah dengan perbelanjaan sendiri. Elaun kehadiran mesyuarat AJK juga tidak menimbulkan masalah kerana terdapat AJK yang memulangkan kembali elaun tersebut kepada pihak KSKM. Inilah pengorbanan yang dilakukan oleh AJK KSKM Negeri.
Disamping itu, KSKM juga memikirkan bagaimana untuk meningkatkan dana selain caruman bulanan dari semua ahli sebanyak RM5 dimana RM3 akan disumbangkan kepada KSKM Pusat dan RM2 akan menjadi dana kepada KSKM Negeri. Tempahan 'Baju Korporat' dan Pelancaran 'Sticker Kereta' telah dilancarkan pada Mac 2012 sebagai salah satu inisiatif KSKM Negeri kearah meningkatkan dana. Alahamdulillah, sambutan yang diberikan oleh ahli-ahli dan bukan ahli KSKM sangat-sangat menggalakkan dan sedikit keuntungan dari hasil jualan tersebut telah sedikit sebanyak dapat disunmbangkan kembali kepada setiap ahli dengan penganjuran program-program yang telah dilaksanakan, Terima kasih kepada semua yang telah menjayakan kempen tersebut.

Sebahagian peserta-peserta Konvensyen
Hadirin dan Hadirat yang dirahmati Allah...
Dalam era pasca moden kini, kebergantungan manusia kepada maklumat yang cepat dan tepat sangat-sangat dituntut di dalam kehidupan manusia. Melalui maklumat inilah maka setiap ahli mengetahui perkara-perkara yang telah, sedang dan akan berlaku kepada kesatuan yang dianggotainya. KSKM Negeri turut terlibat di dalam menyampaikan dan menyebarkan maklumat kepada setiap ahli. Melalui Unit Multimedia KSKM Negeri maka Laman Blog KSKM Negeri Pahang dan Facebook KSKM Pahang telah dilancarkan. Dengan sedikit usaha sebegini, natijah yang dapat diperolehi adalah sangat tinggi. Ahli dapat memperolehi setiap maklumat hanya dihujung jari bahkan terdapat juga permasalahan ahli yang berjaya ditanggani. Dikesempatan ini, saya menyeru kepada seluruh ahli KSKM agar bersikap proaktif di dalam mendapatkan maklumat tentang KSKM Negeri Pahang.


Hadirin dan Hadirat yang dihormati sekelian...

Sayamenyeru kepada seluruh wargakerja makmal di negeri ini agar kita bersatu samada diperingkat sekolah, diperingkat daerah dan diperingkat negeri agar kerjasama yang kita pupuk akan terjalin kekukuhannya diperingkat yang optimum. Marilah kita berganding bahu agar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 3013-2025 dapat kita jayakan bersama walaupun kedudukan kita hanya di belakang tabir.


Saya selaku Pengerusi KSKM Negeri Pahang mewakili seluruh ahli KSKM Negeri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tuan Haji Karim bin Man, Ketua Sektor Jaminan Kualiti di Jabatan Pendidikan Pahangkerana sudi hadir dan seterusnya merasmikan konvensyen kita pada hari ini. Semoga kehadiran beliau akan dapat memberikan impak yang baik  seterusnya hubungan yang lebih erat akan terjalin diantara KSKM Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.



Terima kasih juga diucapkan kepada Pengetua SMK Sri Tualang kerana telah membenarkan pihak KSKM Negeri mengadakan konvensyen di dewan yang serba lengkap ini.



Terima kasih juga kepada Presiden dan Setiausaha Agung KSKM Pusat kerana sudi hadir pada hari ini walaupun terpaksa bergerak seawal pagi dari Kuala Lumpur namun Alhamdulillah, kehadiran dua susuk ini, Insyallah  akan memberikan inspirasi baru kepada KSKM Negeri.



Akhir kata, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih  kepada AJK KSKM Negeri, Wakil-Wakil KSKM Daerah dan AJK Pelaksana KSKM daerah-daerah, AJK Kerja Konvensyen, dan seterusnya kepada seluruh ahli-ahli serta para pemerhati sekelian kerana turut hadir dalam menjayakan Konvensyen Profesionalisme Kakitangan Makmal Negeri Pahang pada tahun 2013 ini.



Wabillahitaufiqwalhidayah Wassalamualaikum wbt... 
~ADMINKSKMPahang~

No comments:

Post a Comment